KUALA LUMPUR: Supercomnet Technologies Bhd (Scomnet), pengeluar alat perubatan, kabel, dan tangki bahan bakar, mengumumkan ia sudah menerima kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk memindahkan saham dan waran daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.
"Bagi pihak Lembaga Pengarah, UOBKH ingin mengumumkan bahawa SC telah meluluskan Cadangan Pemindahan di bawah Seksyen 214(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 serta keperluan ekuiti Bumiputera untuk syarikat senaraian awam," kumpulan itu dalam pemfailan kepada bursa saham.
Pengarah Eksekutif Scomnet, Hsueh Chih-Yu, berkata perpindahan ke Pasaran Utama adalah perkara penting yang dinantikan.
"Pemindahan ini akan membolehkan kumpulan ini meraih lebih banyak pelabur, termasuk mereka yang hanya dibenarkan melabur dalam syarikat-syarikat Pasaran Utama.
"Kami bersyukur atas kelulusan ini dan berharap untuk menarik pelabur institusi dan ekuiti swasta yang lebih besar untuk berkembang bersama-sama. Scomnet masih berada dalam fasa pertumbuhan.
"Walaupun kami tetap memberi tumpuan pada pertumbuhan perniagaan perubatan dan automotif yang sedia ada, pada masa yang sama, kami sentiasa meninjau peluang penggabungan dan pengambilalihan (M&A) yang berpotensi meningkatkan pendapatan," katanya.
Berkongsi mengenai prestasi kewangan kumpulan, Pengarah Eksekutifnya, Lim Eng Chuan, berkata pihaknya berjaya mencapai kedudukan yang melebihi keperluan Suruhanjaya Sekuriti untuk berpindah ke Pasaran Utama.
"Ini termasuk mencapai keuntungan bersih kumulatif minimum RM20 juta dalam tempoh tiga tahun lalu. Kumpulan meraih pencapaian ini walaupun berdepan kesan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan yang berikutnya.
"Malah, Scomnet telah mencatatkan keuntungan selepas cukai yang diselaraskan sebanyak RM68.10 juta dalam tempoh tiga tahun kewangan yang diaudit berakhir pada 31 Disember 2019, 2020, dan 2021 (Tahun Kewangan 2019 - 2021). Pada Tahun Kewangan 2022, kami mencatatkan keuntungan bersih tertinggi sebanyak RM32.90 juta," katanya.
Dari segi kewangan, tambah beliau, kumpulan berada pada kedudukan yang kukuh, dengan aset berkecairan tinggi bernilai RM171.06 juta pada 31 Mac 2023.
"Ketika kami memasuki fasa pertumbuhan seterusnya, kekuatan kewangan kami akan memberi manfaat yang besar," katanya.
Aktiviti utama Scomnet adalah pengilangan dan pemasangan alat perubatan dan kabel, tangki bahan bakar automotif, serta wayar dan kabel untuk peralatan elektrik, elektronik pengguna, dan pasaran automotif.
Dalam segmen perubatan, yang pada masa ini, ia menyumbang sebahagian besar keuntungan kasar Scomnet, pelanggan Kumpulan ini termasuk syarikat multinasional yang terkenal dari Amerika Syarikat dan Eropah, serta pengilang alat perubatan baru dan berkembang.
Pada Tahun Kewangan 2022, keuntungan selepas cukai (PAT) Scomnet meningkat 30.5% kepada RM32.90 juta, dipacu oleh pendapatan yang lebih tinggi dari semua segmen dan peningkatan jualan produk dengan margin keuntungan tinggi, terutamanya dalam segmen perubatan.