Dengkil: Pemaju perumahan terkemuka pilihan rakyat, LBS Bina Group Berhad (LBS) meraikan pemilik hartanahnya yang terpilih menerusi kempen LBS Fabulous Extra 2022/23 yang berjaya membawa pulang pelbagai hadiah menarik termasuk hadiah utama 17 kereta Perodua Axia.
Acara yang berlangsung di galeri jualan KITA @ Cybersouth di sini, menandakan berakhirnya kempen yang menawarkan hadiah lumayan bernilai RM1.5 juta bagi 1,400 orang pembeli hartanah LBS yang bertuah.
Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Ir Lim Hock San berkata, bagi setiap pembeli rumah, penerimaan kunci rumah baharu menandakan berakhirnya proses pembelian rumah mereka, namun bagi LBS, ia suatu detik permulaan yang istimewa.
Katanya, dengan memiliki hartanah LBS, setiap pemilik akan berpeluang untuk menikmati pelbagai ganjaran istimewa.
"Pada majlis cabutan bertuah Fabulous Extra kali ini, 17 orang pembeli hartanah bertuah berjaya memenangi Perodua Axia baharu.
"Pembeli hartanah LBS yang lain turut memenangi pelbagai hadiah lain seperti motosikal, set teater rumah dan basikal gunung.
"Ini jelas menunjukkan komitmen LBS yang bukan hanya sekadar menawarkan kediaman, malah kami berhasrat untuk membina hubungan berpanjangan bersama pemilik rumah kami," katanya di majlis penyampaian hadiah LBS Fabulous Extra 2022/2023 di sini, hari ini.
Selain itu, Lim berkata, LBS juga akan memperkenalkan program kesetiaan pelanggan, LBS Perks and Plusses, khusus bagi setiap pemilik rumah LBS serta menjalin kerjasama dengan lebih 50 rakan kongsi bagi tujuan itu.
Beliau berkata, seperti musim perayaan lain, sempena sambutan Hari Raya ini, LBS juga melancarkan kempen 'Emas Bling Bling Bersama LBS' di mana pembeli rumah LBS yang berjaya memiliki rumah idaman mereka sebelum penghujung Mei berpeluang memenangi jongkong emas 999.9.
Acara kemuncak cabutan bertuah LBS Fabulous Extra 2022-23 dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,500 tetamu terdiri daripada pembeli hartanah LBS dan pemenang cabutan bertuah LBS Fabulous Extra 2022-23.
Sementara itu, pemenang kereta Perodua Axia, Azwan Zakwan, 43, berkata, dia tidak pernah menjangka akan membawa pulang sebuah keerta selepas membeli rumah KITA Bestari.
"Sebelum ini, memang saya pernah membeli rumah di bawah pemaju sama iaitu LBS tetapi tidak menerima sebarang hadiah.
"Tak sangka, kali ini terpilih sebagai penerima hadiah utama. Pada mulanya saya ingat panggilan memberitahu saya memenangi kereta adalah 'scam', tapi saya semak semula untuk memastikan ia adalah betul dan ternyata memang benar," katanya.