Kuala Lumpur: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijadualkan bertemu Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) Jamieson Greer dan pegawai lain yang berkaitan di Washington pada 24 April, untuk membincangkan tarif balas yang dikenakan ke atas Malaysia.
"Kami akan bertemu USTR dan pegawai kerajaan lain daripada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dalam lawatan saya selama dua hari," katanya.
Delegasi Malaysia juga akan mengambil peluang untuk bertemu beberapa dewan perniagaan, syarikat dan kumpulan berkepentingan bagi menerangkan pendirian dan situasi negara serta maklum balas yang diterima daripada Kabinet, kata Tengku Zafrul dalam taklimat media baru-baru ini.
"Kami perlu ke sana untuk menjelaskan bagaimana Malaysia, sebuah negara neutral memainkan peranan penting dalam sektor semikonduktor serta elektrik dan elektronik. Matlamat kami untuk menunjukkan bahawa Malaysia boleh menyokong industri di AS berbanding memberi ancaman kepada mereka," katanya.
Beliau akan diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Mastura Ahmad Mustafa serta pegawai lain dari kementerian.
Wakil Miti di Kedutaan Malaysia di Washington akan menyertai delegasi itu.
Tengku Zafrul menjelaskan perjalanan itu bukan untuk rundingan tetapi perbincangan.
"Kami tidak pergi ke sana untuk membincangkan butiran rundingan. Rundingan mengambil masa, bukan? Oleh itu, ia lebih kepada berbincang mengenai bagaimana Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan antara Asia dan AS," katanya.
Walaupun lawatan ini untuk Malaysia, Tengku Zafrul berkata, beliau juga akan mengambil peluang untuk menyatakan pendirian Asean mengenai isu tarif itu terutamanya hasil daripada mesyuarat khas Menteri-Menteri Ekonomi Asean.
Asean dan Malaysia menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak akan mengambil sebarang tindakan balas.
Negara anggota Indo-China Asean antara paling terkesan ekoran tarif ini, dengan Kemboja menghadapi gabungan tarif asas dan tarif balas sebanyak 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus) dan Myanmar (44 peratus).
Thailand dikenakan tarif 36 peratus, Indonesia 32 peratus, Brunei dan Malaysia, masing-masing 24 peratus, Filipina 17 peratus manakala Singapura dengan tarif asas 10 peratus.
Tarif balas itu kini dalam tempoh penangguhan selama 90 hari, kecuali bagi China.