Kuala Lumpur: Asean perlu memainkan peranan aktif dalam berdepan ketidaktentuan global terutama dalam perdagangan, tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS), perubahan iklim dan gangguan teknologi.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Asean perlu bersedia terhadap perkembangan global semasa berkenaan supaya kekal berdaya tahan.
Katanya, Asean perlu berdepan cabaran secara kolektif dan bertindak balas secara bersama dengan semangat perpaduan dan kesepaduan serta autonomi strategik sebagai satu komuniti rantau ini.
"Saya sudah memberi peringatan, persaingan kuasa besar serta perubahan dalam pergerakan global yang terhasil daripadanya berpotensi mengganggu landskap rantau kita.
"Kini, negara Asean antara paling terkesan akibat tarif yang dikenakan AS, malah perang perdagangan antara AS dan China menjejaskan pengeluaran serta perdagangan global secara dramatik.
"Ini termasuk kelembapan ekonomi global yang mungkin berlaku, dan isu ini dijangka memberi kesan besar kepada Asia Tenggara," katanya dalam ucapan pembukaan ketika mempengerusikan mesyuarat Menteri Luar Asean (AMM), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, aspek perubahan iklim dan gangguan teknologi khususnya Kecerdasan Buatan (AI) juga dikhuatiri berkembang lebih pantas daripada tindak balas kerajaan.
"Negara yang berada di kawasan rendah di rantau ini terdedah kepada kenaikan paras laut dan iklim panas mungkin akan menyaksikan peningkatan kejadian cuaca ekstrem sekali gus memberi tekanan kepada infrastruktur kesihatan awam sekiranya suhu terus meningkat.
"Selain itu, rakyat kita yang mempunyai kadar penembusan internet tinggi turut terdedah kepada penggunaan teknologi tidak dikawal selia seperti AI untuk tujuan tidak baik," katanya.
Menurutnya, jurang pendapatan dalam rantau ini juga perlu diberi keutamaan untuk ditangani.
"Selain meningkatkan jumlah perdagangan dalam rantau ini, Asean perlu terus mengukuhkan mekanisme yang memudahkan perdagangan intra-Asean.
"Dengan menyesuaikan mekanisme ini kepada kekuatan unik setiap negara anggota, kita boleh menangani pertumbuhan ekonomi yang tidak seimbang dalam kalangan negara Asean.
"Kepelbagaian dalam kerjasama dan rakan dagang juga akan memperkukuh keupayaan kita dalam menangani kejutan ekonomi global yang mungkin berlaku pada masa depan," katanya.