Ringgit dijangka mengukuh kepada RM4.10 - RM4.15 akhir tahun ini - Public Investment Bank

BeritaHarian Sun, Jun 15, 2025 12:08pm - Yesterday View Original


Gambar fail. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Gambar fail. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

KUALA LUMPUR: Nilai ringgit dijangka terus berlegar dalam julat RM4.10 hingga RM4.15 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sehingga akhir tahun ini, dipacu oleh pemulihan perdagangan global serta kemasukan modal asing yang berterusan.

Public Investment Bank dalam nota penyelidikannya berkata, walaupun ringgit menunjukkan prestasi memberangsangkan pada separuh pertama 2025, faktor luaran terus menjadi penentu utama hala tuju mata wang tempatan itu pada bulan-bulan mendatang.

-Advertisement-
Skip
Ads by

Katanya, pengukuhan ringgit setakat ini disokong oleh kombinasi faktor termasuk ketahanan ekonomi domestik, penyempitan jurang kadar faedah antara Malaysia dan AS, serta sentimen pasaran global yang lebih positif.

"Selain itu, aliran masuk modal ke dalam pasaran bon domestik, pengukuhan lebihan dagangan serta sedikit kelegaan dalam ketegangan perdagangan AS-China turut menyumbang kepada prestasi positif ringgit," katanya.

Namun begitu, Public Investment Bank memberi amaran bahawa pengukuhan ringgit kebelakangan ini mungkin telah melebihi kekuatan asas makroekonomi semasa, memandangkan beberapa risiko luaran utama masih belum diselesaikan sepenuhnya.

Menurutnya, walaupun terdapat penurunan retorik tarif antara AS dan China buat sementara, ketegangan struktur perdagangan global masih wujud dan berpotensi membataskan kekuatan berterusan ringgit dalam jangka terdekat.

Public Investment Bank menjelaskan, dasar perdagangan AS di bawah pentadbiran baharu serta kemungkinan pengenaan semula tarif timbal balas kekal sebagai ketidakpastian utama kepada prospek ringgit.

Di samping itu, Malaysia turut terdedah kepada pergerakan nilai mata wang renminbi (RMB) memandangkan hubungan dagangan rapat antara kedua-dua negara. Kejatuhan mendadak RMB boleh memberi tekanan tambahan kepada ringgit menerusi hubungan serantau.

Dari sudut imbangan pembayaran, lebihan akaun semasa Malaysia meningkat kepada RM16.7 bilion atau 3.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2025, didorong oleh lebihan dagangan barangan yang lebih kukuh.

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran lebihan akaun semasa pada paras 1.8 peratus KDNK tahun ini, berbanding 1.7 peratus tahun lalu, disokong oleh eksport barangan elektrik dan elektronik (E\&E) yang stabil serta permintaan import yang perlahan.

Public Investment Bank turut menyatakan bahawa perbezaan kadar faedah kekal menjadi faktor utama. Ia menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin menurunkan kadar OPR sebanyak 25 mata asas, manakala Fed dijangka melaksanakan satu pelarasan kadar, sekali gus mengecilkan jurang kadar faedah.

Bagaimanapun, firma itu berpandangan tiada risiko kestabilan kewangan sistemik yang ketara memandangkan asas makroekonomi Malaysia kekal kukuh.

"Dari segi kadar tukaran efektif sebenar (REER), ringgit kini kembali ke paras purata sejarahnya. Untuk melonjak lebih tinggi, ia memerlukan pemangkin baharu seperti aliran masuk FDI yang lebih kukuh atau penstrukturan semula perdagangan global," katanya.

Secara keseluruhannya, Public Investment Bank meramalkan ringgit berlegar dalam julat RM4.10 hingga RM4.15 menjelang akhir 2025, dengan potensi pengukuhan tambahan pada awal 2026 jika pemulihan global terus stabil.

Firma itu turut memberi amaran bahawa sebarang peningkatan semula ketegangan perdagangan AS-China, penyusutan RMB yang mendadak atau perubahan negatif sentimen risiko global boleh menyebabkan aliran keluar dana dari Asia, sekali gus memberi tekanan kepada ringgit.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Yike
Like · Reply
kalau xkena? tutup kedai?

Login to comment.