FGV dinyahsenarai dari Bursa Malaysia, mulakan fasa transformasi baharu bersama FELDA

HarianMetro Mon, Aug 25, 2025 04:55pm - 1 month View Original


Kuala Lumpur: FGV Holdings Berhad (FGV), akan dinyahsenarai daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad berkuat kuasa 28 Ogos ini, sekali gus menamatkan tempoh 13 tahun syarikat itu sebagai entiti tersenarai sejak 2012.

Penyahsenaraian ini menyusul selepas kelulusan permohonan yang dikemukakan FGV pada 15 Ogos lalu dan dilihat sebagai langkah strategik untuk mempercepatkan proses transformasi syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Fakhrunniam Othman berkata, keputusan itu akan membolehkan syarikat bergerak lebih pantas, memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju agribisnes serta pengeluar makanan utama negara, selain menyelaraskan hala tuju bersama pemegang saham utamanya, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Katanya, penyahsenaraian itu sekali gus memperkukuh penyelarasan dengan FELDA serta membolehkan syarikat memberi tumpuan kepada pertumbuhan lestari, kecemerlangan operasi dan penciptaan nilai jangka panjang.

"Langkah strategik ini adalah komitmen kami untuk melangkah bersama FELDA demi manfaat warga kerja syarikat, peneroka dan masyarakat di sekeliling kami.

"Langkah ini bukan pengakhiran kepada perjalanan pertumbuhan FGV sejak disenaraikan pada 2012, sebaliknya permulaan fasa baharu yang akan mengukuhkan keupayaan kami dalam menjana nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan," katanya dalam kenyataan hari ini.

FGV turut memberi jaminan operasi semasa, komitmen terhadap pelanggan serta inisiatif berfokus komuniti akan diteruskan tanpa sebarang gangguan.

Malah, syarikat kekal komited menunaikan kewajipan berzakat, menggerakkan pelbagai program bantuan masyarakat dan memperkasa peneroka FELDA.

Beliau berkata, peneroka FELDA bukan sekadar pembekal Buah Tandan Segar (BTS) kepada FGV sebaliknya turut menjadi rakan kongsi dalam setiap langkah perjalanan ini.

"Hari ini, lebih 70 peratus BTS FGV datang daripada peneroka FELDA dan pekebun kecil.

"Kerjasama ini bukan sekadar angka serta wang ringgit. Ia dibina atas dasar kepercayaan, tanggungjawab bersama dan legasi yang kami banggakan untuk terus diperkukuh bersama," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 8.050
FGV 1.300

Comments

Pierre T
Like · Reply
Kebanyakkan pelabur yang membeli saham Felda rugi besar, seperti yang melabur dalam saham Proton,MAS dan UEM dulu.

Login to comment.