Kukuh ekosistem PKS

HarianMetro Sat, Aug 30, 2025 07:00am - 1 week View Original


PERSATUAN Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) berpendapat kelulusan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025 di Dewan Rakyat, kelmarin sebagai langkah yang tepat untuk mengukuhkan serta menyokong ekosistem PKS.

Presiden Samenta, Datuk William Ng melalui satu kenyataan berkata, peruntukan rang undang-undang itu mengenai tender terbuka, keutamaan bagi produk serta perkhidmatan tempatan dan penekanan pada persaingan yang saksama dijangka memberikan PKS peluang yang lebih baik untuk menyumbang kepada pertumbuhan negara.

"Sistem perolehan yang telus dan berdasarkan peraturan akan memantapkan lagi ekosistem PKS, menggalakkan inovasi selain memastikan perbelanjaan awam secara langsung menyokong komuniti serta PKS tempatan.

"Pada masa ini, PKS berada di bawah tekanan untuk kekal berdaya saing, pembaharuan ini berpotensi membuka peluang baharu dan memberikan persaingan yang lebih adil," katanya.

Ng mengakui terdapat beberapa kebimbangan yang dibangkitkan mengenai peruntukan-peruntukan tertentu di bawah Rang Undang-Undang itu, Samenta sendiri agak prihatin dan berpendapat bahawa mana-mana undang-undang perolehan awam perlu meliputi syarikat-syarikat yang berkaitan dengan kerajaan termasuk syarikat pelaburan yang berkaitan

"Walaupun kebimbangan ini adalah signifikan, mereka tidak boleh membayangi matlamat yang lebih besar dalam meluluskan undang-undang perolehan yang moden, telus dan bertanggungjawab. Oleh itu, Samenta meminta semua pihak untuk menyokong rang undang-undang itu," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.