KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan dagangan lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, seiring prestasi positif mata wang serantau walaupun dolar AS terus mengukuh.
Pada jam 8 pagi, ringgit berada pada paras 4.1865/2100 berbanding dolar AS, meningkat daripada 4.1945/1995 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit dijangka diniagakan dalam julat RM4.19 hingga RM4.21 berikutan aktiviti pengambilan untung selepas Indeks Dolar AS (DXY) mengukuh.
"DXY naik 0.49 peratus kepada 97.348 mata, disokong oleh rekod baharu pasaran ekuiti AS, manakala hasil Perbendaharaan AS menurun," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata semalam ringgit merosot 0.21 peratus kepada RM4.197 berbanding dolar AS, kekal di bawah paras psikologi RM4.20 walaupun mencecah RM4.2013 pada sesi tengah hari.
Pada pembukaan dagangan, ringgit turut mengukuh berbanding beberapa mata wang utama. Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8297/8457 daripada 2.8484/8520, naik kepada 5.6744/7062 berbanding pound Britain daripada 5.7238/7306, dan menguat berbanding euro kepada 4.9355/9632 daripada 4.9654/9714.
Ringgit juga lebih kukuh berbanding mata wang ASEAN. Ia naik kepada 3.2661/2847 berbanding dolar Singapura daripada 3.2800/2842, mengukuh kepada 13.1209/2037 berbanding baht Thailand daripada 13.1903/2114, meningkat kepada 253.3/254.8 berbanding rupiah Indonesia daripada 253.7/254.2, dan menokok kepada 7.33/7.38 berbanding peso Filipina daripada 7.35/7.36.
– BERNAMA
---