KUALA LUMPUR: Dialog Group Bhd mengumumkan perluasan Fasa 3 Terminal Laut Dalam (PDT) Pengerang di Johor, susulan pemeteraian perjanjian perkhidmatan jangka panjang bersyarat (LTSA) antara Dialog Terminals Pengerang (5) Sdn Bhd (DTP5), Dialog Terminals Sdn Bhd (DTSB) dan BP Singapore Pte Ltd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Dialog berkata di bawah LTSA itu, pihaknya akan menambah 614,000 meter padu tangki bagi produk minyak bertapis dan biobahan api, dengan BP Singapore sebagai pelanggan jangka panjang.
Menurut syarikat itu, skop kerja peluasan Fasa 3 berkenaan meliputi kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan prapentauliahan, yang akan dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuhnya.
Peluasan berkenaan dijangka siap pada pertengahan 2028, sekali gus meningkatkan keseluruhan kapasiti penyimpanan PDT kepada satu juta meter padu merangkumi 48 tangki, selepas ia siap sepenuhnya.
Dialog berkata, Fasa 3 PDT merangkumi kemudahan tangki bersama, termasuk infrastruktur perkongsian serta kemudahan marin laut dalam.
Ia turut merangkumi pembangunan terminal penyimpanan petroleum dan petrokimia tambahan bagi memenuhi keperluan pelanggan sederhana hingga jangka panjang seperti peniaga minyak, syarikat minyak multinasional, penapisan dan loji petrokimia.
Dilancarkan pada 2018, Fasa 3 merupakan komponen penting dalam pembangunan pertengahan (midstream) Dialog dan mengukuhkan komitmen kumpulan untuk membangunkan PDT sebagai hab petroleum dan petrokimia terbesar di rantau Asia Pasifik.
Menurut Dialog, kemudahan di bawah Fasa 3 merangkumi operasi pelabuhan dan marin, terminal tangki penyimpanan serta infrastruktur bersama, termasuk kemudahan jeti laut dalam, perancangan tambatan bersepadu, pengendalian kargo, rangkaian saluran paip, penyimpanan pelbagai produk serta utiliti dan perkhidmatan pihak ketiga.
Fasa 3 ini juga terletak secara strategik untuk menyokong pelbagai operasi hiliran di Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC) serta di seluruh rantau Asia Pasifik, katanya.
Peluasan Fasa 3 ini, katanya, adalah sejajar dengan rancangan pembangunan progresif Dialog serta strateginya untuk terus meningkatkan pendapatan berulang jangka panjang kumpulan.
Ia juga membuka peluang tambahan kepada bahagian kejuruteraan, pembinaan, fabrikasi dan penyelenggaraan loji Dialog untuk menyediakan perkhidmatan dan penyelesaian bersepadu, kata Dialog.
DTP5 ialah anak syarikat tidak langsung milik penuh Dialog, manakala DTSB merupakan anak syarikat milik Dialog Group. Sementara itu, BP Singapore merupakan anak syarikat langsung dan tidak langsung BP International Ltd dan BP plc.
-BERNAMA
